
Catatan Perjalananku Menuju Haji...
Umrah Kedua - September 1999 (34 tahun)
Haji Pertama (Haji Fardhu) - November 2009 (44 tahun)
Umrah Ketiga - May 2010 bersama suami dan mertuaku (45 tahun)
Umrah Keempat - Mac 2012 bersama anak-anak Umrah Ziarah Jordan (47 tahun)
Umrah Kelima -insya Allah Disember 2012 / Jan 2013 bersama suami Umrah (47 / 48 tahun)
Inilah perjalananku.....mencari , menghayati dan melalui saat indah mengenal Cinta Ya Rabbi !
INILAH PERJALANAN SEBENAR KISAH SEORANG HAMBA ALLAH, MENGUTIP PENGALAMAN DEMI PENGALAMAN SEPANJANG 44 HARI MENUNAIKAN IBADAH HAJI DAN AKHIRNYA MENJADIKAN , APA YANG KITA LIHAT SEPERTI SEMALAM TIDAK LAGI SETELAH MENUNAIKAN HAJI... PENGALAMAN "ITU" TELAH MEMBEZAKAN KITA YANG SEMALAM DENGAN KITA YANG HARI INI....
semuga ianya memberi iktibar dan panduan bagi mereka yang memerlukan...
Thursday, November 17, 2011
Hari 11 - Solat pertama di Masjdil Haram.

Wednesday, September 29, 2010
Hari 10 - Solat Tahajud di Dataran Kaabah
Ia terasa dekat. Jiwa terasa dekat. Semangat terasa sihat. Hati sukar diterjemah ! Airmata ceritakan segala. Dalam diam menatap Kaabah, hati kita merintih. Melihat langit yang gelap. Melihat keliling jemaah bersimpang siur, Mendengar gema rintih padaMu Tuhan. Kerdilnya diri ini. Tanpa belas dan kasihMu ...siapalah aku untuk menghadirkan diri melalui saat ini. Menatap KaabahMu. Sujud dilantaiMu.
Malam itu sudah menuju hendak kepagi. Kelihatannya Dixon sudah duduk didinding Masjid menunggu kami. Mulanya confuse juga hendak ingatkan rak yang mana. Masjid yang sebesar ini, datanglah berapa kalipun , kita masih risau takut hilang punca dan arah , pintu mana kita mulakan waktu memasukinya. Kami ulang kembali arah kami mulakan waktu masuk dan dapat mencari arah yang perlu kami tujui.
Kami menuju digerai "food court" yang terletak diluar Masjid. Pukul 1.30 pagi kedai masih dibuka malah ramai seperti kami minum air teh panas. Dan aku pula pastinya dengan Jus Mango, minuman kegemaran aku setiap kali berada di Madinah mahupun Mekah. Kami turut makan kebab. Manakan tidak, perut mula terasa lapar. Berbual sebentar dengan Dixon, kami harus pulang awal ke bilik kerana puul 3.30 pagi kami kena bersiap untuk Solat Suboh pula. 2 jam cukuplah melepaskan lelah. Di bumi Mekah tidur cuma sekadar melepaskan lelah, 2 jam sudah mencukupi kerana aktiviti ulang alik ke Masjid untuk Solat Fardhu sudah jadi rutin yang amat menyeronokkan.
Teman sebilik semuanya sudah tidur, mula terasa risau takut pintu bilik tidak dibuka. Mujur ada yang mendengar dan dapatlah masuk kebilik. Bila berbaring barulah terasa penat yang amat. Jam pada handphone tidak lupa aku setkan , takut terlewat bangun untuk bersiap sebentar lagi. Tidur terasa sangat nyenyak. Syukur segalanya mudah setakat ini....
Hari 9 - Tawaf dan Sai Umrah
Kami lakukan Tawaf Umrah dan seperti biasa , walaupun memulainya bersama-sama, kami pastinya akan terpisah juga. Kami telah membuat perjanjian untuk berkumpul kembali ditempat rak kami meyimpan kasut kami sewaktu memasuki Masjid ini. Sekitar pukul 11 malam , bilangan jemaah tidaklah sesak dan memudahkan kami melakukan Tawaf dengan begitu mudah sekali. Bunyi bising menyebut zikir dan nama Allah telah mula kedengaran bergaung sebaik memasuki Masjid. Satu bunyi yang sangat sinonim dan bunyi bising dan aktiviti jemaah yang bersimpang siur melakukan berbagai ibadat masing-masing adalah pemandangan biasa. Satu pemandangan yang kita rindu untuk dengar dan lihat.
Jiwa kita pulih melihat suasana yang telah kita biasa di Dataran Kaabah. 10 tahun lalu kali terakhir menjejakkan kaki hati melayang melepaskan kerinduan. Sesekali mataku melirik pintu Kaabah. "Terima kasih TuhanKu...sungguh aku bersyukur kerana kali ini aku datang bukan lagi kerana Umrah tetapi untuk sebuah Haji". "Permudahkanlah ia , pimpinlah aku".

Sesuatu yang amat aku sukai kerana melalui Sai , berbagai doa yang dibaca membuat hati disentuh kesayuan. Lakukan ia berulang kali tapi sangat menyeronokkan dengan keriuhan yang bergaung menyebut kebesaran nama Mu Tuhan. Begitu ramai yang turut berjalan sama. Semuapun sibuk dengan bacaan masing-masing. Semuapun tahu lakukan apa yang patut dilakukan. Ada yang berhenti melepaskan lelah meneguk air zam-zam. Kalau dulu tiada water cooler diantara Safa dan Marwah selain tong-tong air zam-zam , kini sudah ada water cooler air zam-zam! Banyak perubahan yang aku lihat berlaku terutama batu batu di Marwah dan Safa. Sungguh aku bersyukur dapat melihat perubahan dulu dan sekarang membuat kita amat menghargai sejarah silam.
Sesekali aku melihat siling diantara Safa dan Marwah yang semakin cantik . Malu untuk mengeluh penat dan sakit apatah lagi jauh berjalan bila mengenang sukarnya Siti Hajar melalui didalam panas terik dan jalan berbatu mencari air untuk anaknya Ismail !
Ada aircon, jalan batu marmar, suasana yang cantik , minuman air zam zam tersedia dikiri kanan menyebabkan Sai menerbitkan insaf ...sungguh aku bersyukur ! Kesukaran mereka dizaman silam yang dilalui Siti Hajar tidak terbanding. Pengorbanan kita yang sangat lah sedikit , mengerah jiwa dan raga untuk sebuah ibadat...
Tuesday, September 21, 2010
Hari 9 - Sevilla Barakat
Selesai sahaja Makan Malam , kami masuk ke bilik kami seperti yang dimaklumkan sejak awal lagi. Bilik suami saya cuma disebelah , jadi memudahkan untuk kami berinteraksi terutamanya apabila hendak ke Masjid nanti.
Suasana bilik hotel yang biasa kalau hendak dibandingkan dengan Hotel Movenpick di Madinah. Mungkin kerana saya pernah menunaikan Umrah sebelum ini, suasana bilik Hotel tidaklah seteruk manapun. Selesa walaupun agak sempit untuk 6 orang.
Memandangkan , saya adalah orang yang pertama sampai ke bilik kerana rakan rakan sebilik belum lagi sampai, saya dapat membuat pilihan untuk memilih katil yang mana satu selain "para" yang mana untuk Beg pakaian saya.
Saya memilih katil ditepi tingkap. Hati mula berdebar...siapalah rakan sebilik !
Mengambil wudu , kami turun Jam 9.30 malam tanpa menunggu Mutawif untuk membimbing Umrah kami kerana kami telah biasa dengan persekitan Masjidil Haram walaupun sedikit gusar kalau perubahan yang berlaku di Masjidil Haram membuat kami confuse. Tetapi mungkin sudah biasa dengan susun atur dengan Kaabah menjadi punca ingatan , rasanya kami tidak perlu berapa gusar.
Lagipun Dixon , sahabat suami saya , baru sahaja melakukan Umrah sekitar Bulan Mei yang lalu membuatkan hati kami sedikit yakin. Dr Faiz dan isterinya mengikut kami untuk sama-sama menyempurnakan Umrah kami kerana ini adalah pengalaman pertama mereka.
Hari 9 - Perjalanan Ke Mekah bermula !

Bagaimanakah kita? Siapkah kita dengan bekal yang dikumpul ? Bekal untuk dibawa beribu-ribu tahun , cukupkah ? Itulah persoalan yang selalu menghambat di ingatan membuat aku selalu takut. Takut kalau bekalku tidak cukup ! Adakah Kau terima "usaha" dan "ibadatku" ini ? Biarlah nanti ianya akan aku ulangi berulang ulang kali kerana aku tidak tahu "yang mana satu" Kau Redha, yang mana satu , Kau terima.
Tuhanku, bimbinglah , hambaMu yang daif ini. Pimpinlah aku .
Apapun dihadapan sana, aku nekad , aku mahu beri yang terbaik untuk ibadat ini.
Wirid dan zikir tidak berhenti , perjalanan ke Mekah terasa sangat mudah dan tidak memenatkan langsung, malah tiada halangan dijalanraya menyebabkan kami sampai agak awal di Mekah. Sekitar 6 1/2 jam kota Mekah sudah berada didepan mata.
Dalam gelap malam sekitar pukul 8 malam , Mataku liar mencari...Masjidil Haram !
Thursday, July 22, 2010
tertunda
Wednesday, June 30, 2010
Hari 9 - Solat Dhuha di Masjidil Nabawi
Tiada yang lebih indah selain menutup hari akhir di Masjid Nabawi untuk iktikaf dan Solat Dhuha, Taubat dan Hajat. Kita tidak mahu berhenti untuk terus solat dan solat apabila kita berada didalam Masjid yang sangat bertuah ini . Apatah lagi ianya adalah untuk kali terakhir sebelum berangkat ke Mekah. Entah mengapa hati terasa sangat sayu untuk meninggalkan Masjid ini. Disaat dahi sujud , terasa tidak mahu berhenti terus menangis didalam sujudku ini... bisikku kepadaNya "Usahlah ia yang terakhir...."

Kehebatan Solat :
- Apabila berdiri dan lafaz الله أكبر keluar dari bibir kita.. keluarlah dari tubuh kita dosa-dosa sehingga tubuh kita seperti bayi yang baru lahir.
- Apabila lafaz أعوذ بالله من الشيطان الرجيم dibaca Allah catitkan setiap bulu yang terdapat pada tubuh kita satu kebajikan.
- Apabila surah الفاتحة dibaca maka Allah berikan pahala seperti mengerjakan haji dan Umrah.
- Apabila rukun rukuk disempurnakan, Allah memberi pahala seperti bersedekah dengan seberat timbangan emas.
- Apabila Lafaz سبحان ربى العظيم dibaca kita mendapat pahala seperti pahala membaca semua kitab yang telah Allah turunkan.
- Apabila lafaz سمع الله لمن حمده disebut Allah memandang kearah kita dengan pandangan rahmat.
- Apabila kita sujud kepada Allah, Allah kurniakan pahala dan kebajikan kepada kita sebanyak kejadian manusia dan jin yang telah Allah ciptakan.
- Apabila lafaz سبحان ربى الأعلى disebut maka kita mendapat pahala memerdekakan hamba sebanyak surah dan ayat suci yang terkandung dalam Al-Quran.
- Apabila kita lafazkan تشهد / tasyahhud dalam tahiyat kita, maka Allah kurniakan Martabat الصابرين As-Sobirin kepada kita.
- Apabila kita memberi salam.. Allah bukakan lapan pintu Syurga untuk kita pilih yang mana satu kita hendak masuk ke dalam Syurga Allah…
Maksud Hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibnu Umar..
Monday, April 12, 2010
Hari 9 - Mengisi ruang waktu bersama makcik makcik...
Makcik yang kelihatan sangat manja dengan aku, aku bekalkan ubat-ubatan yang masih aku miliki, walaupun itu bermakna , ubat untuk aku tidak ada lagi terutama ubat sakit sakit badan, namun dengan senang hati aku berikan pada makcik ini. Dia lebih memerlukan dari aku.
"Kalau nanti makcik sakit semasa di Mekah, call saya ok", pesan aku sambil memberi no. bilik aku di Mekah nanti. Dia melihat wajahku dengan pandangan yang sangat sayu. Sesekali celotehnya dengan makcik yang lain , seperti risau kerana aku tidak lagi sebilik dengan dia untuk menjaga dia.
Friday, April 2, 2010
Hari 9 - Labaikallah Humma Labaik....Mekah!
9 November , Isnin
Suboh kali ini kami mandi Sunat Ihram dan melakukan Ziarah Wada di Makam Nabi. Pukul 11 pagi kami sudah makan tengahari kerana kami akan berangkat sebaik sahaja selepas Solat Zuhor. Perjalanan akan mengambil masa antara 7 ke 9 jam bergantung kepada keadaan bas dan pemandu. Jarak 445 km antara Madinah dan Mekah memungkin kami akan sampai sekitar pukul 10 malam. Niat akan dibaca di Bir Ali , Cuma 20 minit dari kota Madinah.
Kami telah diberi No. Bus dan didalam bas nama kami dipanggil seorang demi seorang oleh pihak Arab Saudi dimana mereka akan check dengan pasport kita sekali. Pasport kami diuruskan oleh pihak Tabung Haji. Setakat ini layanan diberi oleh pihak TH Travel agak memuaskan tetapi kami diberi penerangan tentang keselesaan yang akan terjejas sewaktu hampir 1 bulan di Mekah nanti. Aku sudah menyediakan minda ku supaya bersedia untuk setiap kemungkinan dan setiap kali ingat pada Allah untuk diberi kemudahan sewaktu disana. Disana kita akan diuji. Itulah selalu bermain dimindaku. Macam rasa nak berperang ada juga...berperang jiwa.
Dengan ilmu, pembacaan, kursus , persediaan fizikal dan minda selain nasihat dari insan insan terdekat , aku jadikan ianya bekal kerana aku mahu membuat Haji yang terbaik . Tuhanku, bantulah aku...
Kami sampai di sebuah Masjid untuk kami melakukan solat Jamak Magrib dan Isya. Masjid yang aku biasa lewati dalam umrah umrahku sebelum ini. masih seperti dulu...ianya mengimbau kisah dulu. Sangat manis untuk dikenang. Toiletnya masih seperti dulu tapi sudah diperbaiki . Aku tidakpun ke Toilet kerana sejak dari bergeraknya bas aku berzikir memohon Allah pelihara wudu ku. Mujur ianya tidak sia-sia, kerana sampai juga aku ke Masjid ini untuk lakukan Solat dan tidaklah perlu beratur panjang di toilet. Tempat solat wanita juga sangat kecil dan penuh sewaktu kami sampai. Hendak masuk kedalam ruang solat pun tidak dapat kerana jemaah dari Indonesia kebetulan ada sama.
Lalu terlihat Ustazah sedang memulakan solat dengan sehelai sejadah di luar tempat solat. Anith anak kecil seusia anakku , 9 tahun , aku pimpin untuk ikut solat dibelakang ustazah. Di atas batu-batu dan mengongsi 1 helai sejadah bersama anak kecil ini memanglah agak susah, kerana kalau sujud bersama-sama, pasti kami akan terkeluar dari kain sejadah dan mengenai batu batu dikeliling. Juga bukan mudah untuk sujud diatas batu batu. Terbit keinsafan begini lah Nabi Muhamad s.a.w didalam musafir bergerak dari Madinah ke Mekah untuk menunaikan ibadat haji, berjalan kaki dan menaiki untuk. Pastinya mengambil masa berhari hari untuk sampai. Melihat struktur bumi dari Madinah ke Mekah dalam gelap malam, hati rasa sangat sayu. Susah kita bagaikan langit dan bumi dizaman Nabi. Menitis airmata bila melaui perjalanan kali ini tidak seperi umrah yang dulu dulu. Melalui Haji kita rasa sangat sedih dan sayu dan entah mengapa ingatan pada Nabi Mumhammad sepanjang perjalanan ke Mekah membuat aku sangat insaf...
Berbalik pada solat kami tadi ianya merupakan satu pengalaman yang sangat nostalgik. Disini kita solat dimana mana walaupun berbumbungkan langit. Sebaik selesai solat , aku dan ibu Anith memimpin anak kecil ini, kerana mindanya mula mahu bertanya tentang itu dan ini. Kami memujuk anak kecil ini supaya jangan fikir bukan-bukan kerana kalau kita fikir bukan-bukan kita akan temui apa yang kita fikirkan. Mekah cuma beberapa km dari Masjid ini . Gerun , risau , takut tetapi hati pasrah dalam kuasaMU....
Hari 8 - Ulat
8 November , Ahad
ULAT
Suboh seperti biasa tetapi kali ini agak berbeza kerana selalunya setiap kali aku solat aku akan berubah dibanyak tempat untuk mendapat pengalaman yang berbeza. Kali ini solat bersama dengan jemaah dari Turki. Sewaktu sujud rakaat pertama , aku terasa sesuatu menjalar ditanganku dan tiba-tiba teringat ulat-ulat dan ular juga. Sekali lagi menggosok tanganku dan kali ini aku benar-benar terasa ada seperti kumbang sedang menjalar naik ke tanganku , kemudian dibelakangku pun terasa ada.
Mulalah terasa ada beberapa ekor sedang menaiki baju jubah ku. Menggigil aku ketakutan walaupun masih dalam rakaat kedua. Aku beristighfar sebanyak mungkin sambil memohon ampun dari Tuhan kerana aku sememangnya takut dengan ulat-ulat. Berdoa bersungguh-sungguh , kalau benar ulat itu naik ke tengkuk mahu rasanya aku menjerit . Tetapi dalam saat itu , aku hanya mengharapkan Tuhan untuk menolongku. Dan ajaibnya sebaik sahaja aku selesai memberi salam ,terasa sudah tiada yang menjalar dibelakang badanku. Aku pun cuba memegang tangan dan belakangku dan tiada apa lagi yang terasa . Alhamdullilah ! Padahal aku dah sudah 'plan" untuk menarik kain telekungku sebaik sahaja selesai salam dan pedulikan orang melihat kerana aku sememangnya sangat takut dengan ulat ulat ini. Mujur, dengan pertolongan Allah ianya tidak berlaku. Kadang rasa hairan juga bagaimana boleh tiba tiba hilang padahal gerak kuku jari kumbang atau ulat itu dapat aku rasa sewaktu ia menjalar naik kedalam jubahku.
Pukul 9 pagi kami diberi ceramah untuk Haji dan Umrah oleh ustaz untuk mengingatkan kami apa yang akan kami lalui kalau-kalau kami terlupa. Kami juga diberi Taklimat oleh pihak Tabung Haji untuk pergerakan kami ke Mekah pada esok harinya. KT35 sahaja yang tinggal dihotel ini kerana yang lainnya sudah pergi ke Mekah menjadikan suasana dewan makan tenang dan tidaklah sesak seperti selalu.
Mulanya kami bercadang untuk ke Masjid Quba untuk Solat Dhuha setelah Talkimat , tetapi memandangkan kami perlu meletakkan beg-beg besar diluar bilik selepas solat Asar, terpaksalah kami membatalkan niat kami ke Masjid Quba kerana kesuntukan waktu. Kelihatannya jemaah mula sibuk untuk pack kan barang-barang didalam beg. Termasuklah makcik makcik dibilikku. Satu suasana yang seronok. .
Kami pula tidaklah terlalu risau tentang berat beg kerana sebahagiannya telah pun dihantar melalui pos. Di Mekah bolehlah fokus untuk ibadat kerana barang-barang untuk disedekahkan apabila pulang di Malaysia hampir kesemuanya sudah kami selesaikan semasa di Madinah lagi. Kalau di Mekah nanti sekadar membeli apa yang patut sahaja lagi . Sejak dulu lagi aku tidak gemar membeli barang barang untuk disedekahkan di Mekah kerana waktu kami pasti sangat suntuk mengejar waktu solat apatah lagi di musim haji, pastinya waktu dan keupayaan fizikal menjadi terbatas.
Malam selepas Solat Isya dan makan malam kami membaca yasin beramai-ramai untuk keselamatan kami bergerak ke Mekah pada esok harinya. Satu acara yang sangat menyentuh hatiku. Kita tidak tahu bagaimana kita akan di uji sewaktu di Mekah apatah lagi ibadat haji sudah semakin dekat untuk dilaksanakan.
Hari 7 - Raudah aku datang lagi...
7 November , Sabtu
Selepas Solat Suboh aku sekali lagi pergi ke Raudah. Bergerak ke penjuru bertentangan dari Hotel kami, aku menyusuri Masjid dengan jemaah yang semakin hari semakin ramai. Berkumpul diruang untuk jemaah Malaysia aku duduk menunggu sambil solat Dhuha. Seperti biasa jemaah dari Indonesia menenggelamkan jemaah Malaysia . Mereka hampir semua mengelilingiku dari berbagai daerah dan aku hanya seorang dari kelompok mereka.
Oleh kerana aku sudah tahu cara kami akan diatur dari satu ruang ke satu ruang , aku agak tenang melalui proses menanti. Hampir 4 jam menunggu giliran namun aku leraikan resah dengan menghayati keindahan Masjid Nabawi. Biarlah berlama-lama menunggu didalam Masjid ini kerana aku mahu puas puas berada di Masjid ini. Takut nanti entah bila lagi dapat kesini lagi .... biarlah penantian menunggu giliran ke Raudah aku menafaatkan dengan rasa bersyukur kerana berada disini.
Mulanya menyangka hatiku akan tenang dan tidak tersentuh melihat Raudah dan Makam Nabi kerana baru semalam mengunjunginya , tetapi bila ianya sudah didepan mata , bila dahi sudah sujud di RaidahMU , aku tidak mampu menahan sebak dan tangis . Mengadu pada Tuhan. Melepaskan Rindu pada Illahi , terasa ianya sangat dekat setiap kali aku menyentuh lantai Raudah. Sesuatu berlaku dinaluri, perasaan yang sangat sukar dijelaskan dan yang pasti setiap mereka yang berada disini akan menangis.
Aku pulang ke Hotel lebih kurang pukul 11 pagi dalam keadaan yang begitu letih apatah lagi sejak pagi dan Suboh tadi tidak makan lagi. Balik ke bilik terus menjamah Kurma muda kegemaran ku untuk mendapatkan tenaga kembali. Berehat cuma sebentar kira-kira setengah jam cuma kerana harus bersiap pula untuk Solat Zuhor pula.
Walaupun badan terasa letih kerana sejak pukul 4 pagi sudah ke Masjid, namun hati merasa sangat puas berada didalam Masjidil Haram. Keindahan disaat bersendirian di masjid sangat sukar diterjemahkan kerana ianya sepi dalam riuh orang ramai tetapi sepi itu kita rasa ditemani. Jiwa kita tidak kosong menghitung setiap detik beredar....
Thursday, March 11, 2010
Hari 6 - Raudah
6 November Jumaat
Selepas Solat Suboh aku tekad untuk solat Dhuha . Kali ini aku cuma solat diluar Masjid. Mungkin serik bersesak-sesak malam tadi membuatkan aku tidak selesa untuk solat dengan tenang menyebabkan aku memilih untuk solat di luar sahaja. Itupun ramai !
Lebih kurang pukul 6.30 pagi aku pun masuk ke pintu Masjid dan terus mencari ruang untuk menanti Solat Dhuha. Kebetulan terlihat jemaah dari Negara Afrika bertanya tentang ziarah Raudah. Aku pun bertanya pada polis Masjid dimana ruang untuk jemaah Malaysia. Sambil menunjukkan aku ke satu sudut untuk aku pergi. Kelihatan agak ramai sudah menunggu disitu. Sambil menunggu membaca Quran dan berzikir. Semakin lama ruang yang sempit menjadi sangat sesak kerana semua jemaah dari Malaysia dan Indonesia dikumpulkan bersama-sama. Suasana pun agak tegang kerana menanti isyarat untuk bergerak ke ruang yang seterusnya. Ada kumpulan yang memotong que menyebabkan terdengar rasa tidak puas hati dan selalunya kumpulan besar ini adalah dari jemaah Indonesia. Mereka memenuhi hampir setiap ruang dan selalunya aku tersepit antara mereka. Aku seorang diri orang Malaysia berada diantara mereka orang Indonesia.
Hampir 45 minit menunggu kami diarahkan bergerak ke ruang seterusnya maka berlakukah asakan dan berlari untuk mendapat tempat yang dihadapan. Aku sudah tidak pedulikan tindak tanduk jemaah Indonesia yang agak ganas dan biarkan mereka dengan larian mereka. Yang penting aku bersyukur aku sudah berada di dalam Masjid , melalui lorong lorong di antara tiang tiang yang indah, sambil hati mula tersentuh mengingat kembali saat mula mengenal dan jatuh cinta pada Masjid Nabawi. Diruang seterusnya kami menunggu lagi sekitar 30 minit sehingga diarahkan ke ruang yang makin mendekati Raudah. Sewaktu menunggu kami diberi penerangan oleh pekerja Masjid seorang Indonesia. Apa yang tersengat diminda bila mengingatkan kami supaya melakukan solat Jenazah dan mengajar cara-caranya kerana pahalanya adalah sebesar Bukit Uhud jadi kalau di Masjid Nabawi diganda 1,000 kali bukit Uhud apatah lagi bila melakukannya di Masjidil Haram. Beliau juga mengingatkan kami tentang Takbir ke 4 , salam cuma di sebelah kanan sahaja. Bersyukur juga mendapat sedikit ilmu yang sangat berguna kerana Solat Jenazah adalah sesuatu yang sangat biasa dilakukan kalau kita solat di Masjid Nabawi dan Masjidil Haram.
Airmata sudah tidak tertahan , begitu sayu dan terasa sangat rindu bila terlihat Makam Nabi sudah tersergam di ruang mata. Kami menunggu lagi walaupun sudah berhadapan dengan Raudah kerana menunggu giliran kumpulan dihadapan untuk solat . Berlari kesana sini dan berasak-asakan sudah jadi suasana yang biasa . Airmataku sudah tidak tertahan , sambil membaca doa Raudah dan Doa Makam Nabi , Saidina Abu Bakar dan Saidian Umar.
Aku sangat bersyukur kerana telah melihat secara dekat Makam Nabi 10 tahun yang lalu. Kalau dulu memasuki Raudah cuma dipintu bersebelahan dengan Makam , tapi kini pintu untuk memasuki Raudah telah dijauhkan seperti apa yang aku lalui kini. Makam Nabi sudah tidak kelihatan kerana telah dibuat seperti tembok dan memang tidak terlihat langsung.
Sewaktu berlari dalam sesak orang ramai yang berhimpit-himpit aku berada ditepi Makam Nabi dan mencari Karpet Hijau , tanda Raudah. Mujur polis Masjid berada disebelahku dan menyuruh aku solat disitu kerana ditempat aku berada itu sudah memasuki ruang Raudah, iaitu Karpet bewarna hijau. Berdiri dan terus solat kerana memang tiada ruang untuk solat. Syukur aku dapat juga Solat di Raudah di pagi Jumaat yang hening walaupun pada mulanya hati terasa hampa seperti aku tiada peluang untuk kesitu tetapi aku terasa di bimbing untuk sampai ke Raudah. (Tips solat di Raudah : sujudlah selama mungkin kita tidak dihalau untuk keluar dari kawasan itu, tetapi kalau kita sudah beri salam, polis Masjid akan menghalau kita supaya beredar serta merta ) . Hati aku yang sangat rindu , Rindu pada Raudah, Rindu pada Makam Nabi akhirnya terlerai juga. Hanya Tuhan yang tahu hati hambamu ini, 10 tahun menanti saat ini dan apabila ianya berlaku hanya antara aku dan DIA dapat fahami apa yang ditangiskan. Rintihan hambaMU , sayu pilu saat aku sujud di RaudahMU.
Terimakasih Tuhan, ianya menjadi mudah atas pertolongan Mu walaupun hati ku kecewa dan hampa kalau harapan ku tidak kesampaian. Sesudah itu aku menyusuri Dataran Masjid dengan kelibat begitu ramai jemaah namun tidak kuhiraukan , mataku yang merah menangis sebentar tadi seakan mengaburkan pandangan penglihatan . Sekeliling manusia yang asing tidak kuhiraukan terus ke bilik untuk melepaskan lelah. Syukur sejak pukul 4.30 pagi hingga pukul 10 pagi , wuduku terpelihara dan Kau mudahkan urusan aku untuk Ziarah Makam Nabi dan RaudahMU .
Petang itu menerima sms dari anak gadisku yang rindu, Tuhan saja yang tahu suatu perasaan antara anak dan ibunya yang terpisah kerana sebuah ibadat. Sebak mendengar suara tangis anak-anakku tetapi tidak mampu aku memeluk mereka untuk redakan tangis mereka selain menitipkan doa setiap saat aku disini , semuga mereka sentiasa dalam peliharaan Illahi.
Beanrlah , ibadat Haji menuntut pengorbanan yang sangat tinggi dan airmata mengisi setiap ruang jiwa. Bahagia, sedih , sayu, sebak, dan segalanya dilahirkan dengan titisan airmata.
HARI 5 - Dugaan Bermula
5 November, Khamis
Pukul 2.30 pagi , terima sms dari suami yang baru pulang dari Tahajud. Alhamdulillah , malam ini suamiku dapat bangun ke Raudah. “I rindu kat u”, membuatkan airmataku berlinangan. Sudah beberapa malam tidak tidur bersama tentulah sukar apatah lagi perjalanan masih jauh dan sukar. “Tak apa kita selalu ada sama-sama setiap hari”, balas sms untuk memujuk suamiku. “Tidur dulu nanti pukul 4.30pagi akan kejutkan untuk solat suboh”.
Aku agak gembira kerana peluangku untuk solat di Malam Jumaat menampakkan hasil. Sejak dari Zuhor sudah bersedia untuk ke Masjid. Suamiku pula sibuk menguruskan kotak-kotak untuk proses penghantaran melalui courier. Kami telah membeli 10 g Kurma Nabi disamping 4 Tong (10 Liter) air zam-zam, 1 Tong dihantar ke rumah parents suamiku , 1 Tong dihantar ke Office suami untuk staf-stafnya dan 2 Tong digantar ke rumah kami di KL.
Sebelum Asar tiba, aku bercadang untuk pergi awal kerana ini merupakan Solat pertamaku dan seboleh mungkin aku ingin berada didalam Masjid . Apatah lagi tempat perempuan agak terhad dan kena pergi setida-tidaknya 45minit atau 1 jam awal. Sangka ku suami akan menemankan aku tapi dia sibuk dengan kotak-kotaknya membuatkan aku mengganggahi diri ini untuk berjalan seorang diri merentasi Dataran keseberang penjuru Masjid untuk masuk ke bahagian jemaah wanita. Aku tidak ingat pintu No. berapa tapi pintu itulah yang akan digunakan kalau hendak ke Raudah. Memandangkan au tidak pernah masuk ke Masjid Nabawi sejak 10 tahun yang lalu dan masuk ke Masjid pula seorang diri , aku harus memberanikan diri.
Begitu ramai orang dan kelihatan di luar Masjid sangat sesak kerana Malam ini adalah Malam Jumaat. Perasaan takut mula menyelubungi hatiku. Berjalan seorang diri dalan celahan orang ramai buat aku sangat gementar. Akhirnya pintu Masjid jelas kelihatan dan boleh masuk lagi . Puas aku mencari ruang didalam Masjid yang kelihatan begitu sesak sekali satu suasana yang sangat berbeza dengan pengalaman Umrah dulu. Tidaklah begini ramainya dan ianya merupakan pengalaman yang sangat menggentarkan apatah lagi aku seorang diri . Aku sendiri tidak tahu hendak duduk dimana, kelihatan tali raffia direntang untuk menandakan ruang untuk solat. Berpusing-pusing au mencari ruang untuk duduk tetapi semua kelihatan penuh. Aku seperti tida percaya melihat setiap ruang sudah di isi penuh sehingga tiada tempat langsung untu duduk. Waktu itu kelihatan orang-orang Badwi begitu ramai , melihat aku dengan pandangan yang membuat aku gusar.
Aku akhirnya duduk dicelah jalan antara deretan tong-tong zam-zam kerana tiada pilihan lain. Betul-betul di jalur tali rafia menyebabkan aku terpaksa membongkokkan diri setiap kali orang lalu lalang dibelakangku. Ruang yang sangat sempit dan paling menakutkan dikiri kana, depan dan belakang dipenuhi oleh orang-orang Badwi dan Pakistan.
Kelihatan begitu ramai orang-orang Badwi di saf tersebut , agak takut tetapi kugagahkan juga. Oleh kerana duduk diantara jalan untuk orang lalu lalang apatah lagi diantara garisan tali raffia, tentulah ianya sesak sekali untuk orang lalu lalang. Aku hanya mampu berserah pada Illahi, “selamatkan aku”.
Sebentar kemudian, seorang jemaah dari Indonesia kelihatan duduk disebelahku. Mujurlah kehadirannya membuatkan aku sangat lega. Baiknya seperti seorang ibu. Seperti Tuhan hantarkan aku seorang ibu menemankan aku yang dalam ketakutan sebenarnya. Usia dan tutur katanya membuat aku terkenang pada Emak. Dia agak ramah kerana bekas seorang guru yang telah pencen 15 tahun yang lalu. Dia datang dari Sulawesi . Katanya dia perlukan 50 juta Rupiah ( lebih kurang RM17 ribu) untuk menunaikan Haji . Di Madinah , penginapannya adalah 3 km dari Masjid dan beliau harus berjalan kaki setiap kali ulang alik ke Masjid menyebabkan ada waktu-waktunya seperti Asar ke Isya mereka tidak pulang ke Hotel. Di Mekah pula jarak Hotel mereka adalah 6 ke 7 km dari Masjidil Haram. Bermakna datang awal pagi hingga lewat malam baru pulang ke hotel. Seharusnya kita bersyukur, walaupun cara Muasasah kita adalah jauh lebih baik dari jemaah dari Negara lain.
Dia tidak sudah-sudah memuji kerana jemaah Malaysia begitu beruntung kerana dapat tinggal di Hotel yang cuma dihadapan Masjid. Katanya , dia sesat semalam sewaktu hendak ke Masjid. Bayangkan berjalan kaki sejauh 3 km setiap hari ! Pastinya kena ulang-alik setidak-tidaknya 2 kali. Antara pertanyaan ibu ini yang membuat aku ingat, " Di Malaysia , kalau mencuri , tangan di potong ?". Kami berbual panjang sementara menanti azan Isya'. Rasa takut tidak lagi menyelubungi hati. Malah seorang Badwi yang duduk disebelah Ibu ini, turut melihat kami dan sesekali dengan bahasa isyarat , tersenyum-senyum padaku. Mungin hendak berborak sama tetapi tidak faham apa yang ami borakkan. Aku mengambil coklat snickers yang kusimpan didalam beg dan hulurkan padanya dan dia kelihatan sangat gembira. Aku juga mengambil peluang bersedekah pada Ibu itu dan dia juga kelihatan sangat gembira. Solat pertama di Masjid Nabawi begitu menggembirakan aku ditemukan dengan mereka .
Saya kemudiannya pulang ke Hotel selepas solat Isya. Agak menakutkan kerana bilangan jemaah yang keluar dari Masjid begitu ramai sehingga bertolak-tolak. Ianya lebih menakutkan apabila saya tidak sengaja masuk ke ruang yang silap menyebabkan berlaku asakan di pintu utama di hadapan Hilton Madinah dimana jemaah lelaki dan wanita keluar dan masuk serentak di pintu utama menyebabkan ianya seperti gambaran di Muasin. Hendak berpatah balik sudah tidak boleh kerana tolakan dari belakang menyebabkan saya terpaksa berada dalam himpitan begitu ramai jemaah . Beristighfar dan memohon Tuhan lindungi diriku yang kerdil ini menyebabkan diri terasa arus tolakan agak meluncur dan mudahlah aku mencari ruang untuk keluar. Didalam hati terasa ingin menangis kerana berada didalam situasi itu seorang diri. Memujuk hatiku harus belajar untuk lalui semua ini kerana perjalanan hidup akhirnya “seorang juga”. Takut mana pun kita harus hadapinya sendirian samada kita hendak atau tidak hendak.
Tuesday, February 23, 2010
HARI 4 - Hati Tenang
HARI 4 - Ziarah
Pagi itu selepas sarapan kami menaiki bas untuk ziarah ke Masjid Quba dimana kami dinasihatkan untuk mempunyai wudu sewaktu diHotel lagi dan solat Tahyatul Masjid kemudiannya Solat Dhuha apabila tiba di Masjid Quba dan kabarnya pahalanya seperti melakukan 1 umrah. Apabila kami sampai di Masjid tersebut begitu ramai jemaah berada disekitar masjid , agak sukar juga untuk sampai ke pintu masuk jemaah wanita. Malah jemaah yang masuk kedalam untuk solat terpaksa tergesa-gesa kerana ditolak oleh jemaah lain keran suasana didalamnya kelihatan agak sesak. Seperti biasa jemaah Indonesia begitu ramai dengan berbagai fesyen dan warna. Sesekali mereka ini kelihatannya seperti melancung kerana warna yang dipilih begitu terang terang sekali, ada yang bertopi besar , ada yang berjaket dan jelas mereka tetap dengan tradisi cara pemakaian mereka, jauh sekali mahu memakai jubah seperti kebiasaan jemaah Malaysia apabila ke sini.
Masjid Quba begitu jauh berbeza dengan Umrah 10 tahun yang lalu. Dulu sewaktu solat disini suasananya sangat tenang dan aman dan tidaklah besesak-sesak seperti hari ini. Mungkin kerana musim haji , bilangan yang hadir jauh berbeza sewaktu umrah.
Kami kemudiannya dibawa ke Bukit Uhud dan diceritakan kembali tentang sukarnya mempertahankan Islam dizaman Nabi dimana musuh begitu beria-ia hendak membunuh Rasul kesayangan kita. Terasa hiba mendengar kisah silam, melihat struktur muka bumi yang sukar kita boleh membayangkan betapa kuatnya jihad mereka dizaman silam dan sangat jauh berbeza dengan semangat kita dizaman kini. Äku bertekad akan membawa anak-anakku untuk melakukan Umrah kerana hanya dengan itu kita akan melihat , berfikir kemudiannya dapat menerbitkan iman yang sangat berbeza apabila kita sendiri melihat dengan mata kita sendiri sukar menyebarkan agama Islam dan indahnya Islam.
Kami kemudiannya melewati Masjid Qiblatain dan Masjid Tujuh hanya dari bas sambil diceritakan kisahnya oleh mutawif yang membawa kami. Didalam bas kami sempat membeli Habatus Sauda yang dijual oleh Mutawif bila diberitahu ianya boleh menyembuhkan penyakit , ingatkan aku pada birasku yang sakit dan mungkin ikhtiar penawar ini akan dapat membantunya.
Menuju ke Pasar Kurma kelihatan begitu ramai yang bersesak membeli kurma terutama Kurma Najwa pada harga yang agak murah. Disini harganya masih seperti 10 tahun yang lalu iaitu 50 Riyal untuk 1 kg dan di Malaysia Kurma ini berharga RM150 untuk 1 kg. Kami membeli 5 kilo selain kurma yang berlainan jenis untuk dibawa bersama . Saya sempat juga mencari kurma muda dan memang rasanya sangat sedap. Itulah yang menjadi manisan saya apabila dibilik. Suasam di Pasar Kurma , memang sesak. dalam sesak itu terdengar sindiran pasangan jemaah yang memarahi Mutawif, katanya membawa kami ke tempat yang sesak kerana mendapat komisen. Kasihan juga melihat mutawif itu dimarahi. Lebih menyakitkan telinga , katanya lagi beli kurma tak penting , "kami nak kejar waktu solat di masjid". Begitulah lebih kurang kata jemaah ini, padahal waktu kami sampai di Hotel ialah sekita pukul 11 pagi , masih banyak waktu untuk menanti waktu zuhor. Saya hanya mengerling melihat jemaah ini akhirnya turut sama membeli Kurma di tempat kami. Berbagai kerenah! Aku sudah menduga kita akan menemui berbagai ragam manusia dan aku selalu ingatkan mindaku supaya sentiasa "cool" dalam apa juga keadaan. Dugaan sedikit demi sedikit akan mengelilingi hidup kita sepanjang berada di bumi bertuah ini.
Seperti biasa selepas solat zuhor kami lunch bersama dan sempat berbual dengan Hj Mohd Taib yang juga mempunyai kenalan yang agak ramai dengan Management suami saya membuatkan kami berbual panjang di Café. Selepas Asar , suami saya mengajak saya turun untuk berjalan-jalan dan seperti biasa saya membeli juice mango dan kebab. Saya berpesan pada suami saya saya tidak mahu makan malam kerana masih kenyang. Tinggal disini kami hanya makan dan makan selain ke masjid. Makanan pula agak mewah sampai rasanya tak terlarat nak makan lagi. Kenyang tidak habis rasanya, Didalam bilik saya hanya membaca buku selain melihat ditingkap bilik mereka yang solat di Masjid. Mujur boleh lihat mereka solat , sesekali mengambil gambar mereka dari tingkap bilik. Alhamdulillah ! di Madinah saya dapat habiskan bacaan Al Quran Terjemahan hingga ke Juz 30.
Tidur awal malam ini , mungkin terasa letih, perbualan antara makcik makcik dibilik ku layan sesekali. Aku hanya mendengar selain sesekali menyampuk cerita mereka. Seronok melihat kerenah mereka , asyik terlupa baju letak dimana , stoking tersilap letak mana, duit tersilap sorok , puas dicari dalam beg rupa-rupanya dalam bra makcik, tak larat juga ketawa dengan kerenah mereka. Sesekali teringat , kalau mak ada , lebih kurang begini juga riuhnya.
Yang bestnya , makcik-makcik ini sudah semakin akrab denganku. Apatah lagi , ubat-ubatan yang aku bawa , satu persatu aku berikan pada mereka. Sehingga suami saya menegur, "You jangan baik hati sangat, nanti sendiri sakit tak ada ubat , asyik bagi kat orang lain". Tapi tak tahu mengapa aku seronok bagi ubat ubatan ku pada makcik-makcik ini. Setakat ini , kesihatanku TIP TOP.
Tuesday, February 9, 2010
HARI 3 - RAUDAH
Terjaga pukul 2.30 pagi apabila pintu bilik diketuk. Rupa-rupanya sahabat-sahabat , makcik-makcik sebilik saya sudah mengajak ke Masjid kerana takut tidak mendapat tempat untuk solat didalam Masjid. Waktu itu juga menerima sms dari suami saya yang baru pulang dari Masjid dan syukur suami saya dapat juga akhirnya solat di Raudah selain Tahajud, solat Taubat dan solat Hajat. Katanya sebaik sahaja selesai , orang mula ramai memasuki Raudhah.
Seperti yang kami rancang , suami saya balik dari Raudah pukul 2.30 pagi dan tidur semula sebelum pukul 4.30 pagi dimana saya akan kejutkan melalui handphone untuk solat Suboh pula. (Kehidupan kami seperti di asrama kerana berasing bilik). Pukul 4.30 kira dah lambat tetapi setidak-tidaknya sudah ke Raudah sebelum itu, kerana itulah sahaja cara untuk dapat solat disana. Semakin hari semakin ramai memenuhi ruang masjid kerana jemaah sudah mula sampai jadi peluang kita akan semakin tipis kalau kita tidak membuat strategi yang betul .
PERKUBURAN BAQI




Kami kemudiannya ke Perkuburan Baqi dan kebetulan waktu untuk ziarah bagi jemaah lelaki. Suami saya masuk sementara saya duduk diluar menanti. Kata suami saya , perkuburan Baqi , kalau dulu, kami cuma dapat berada diluar Pintu besar tetapi kini mereka membenarkan masuk sehingga ke kawasan perkuburan tetapi disekitarnya dibuat gate. Tidak juga dibubuh nama bagi setiap perkuburan takut berlaku perbuatan khurafat, tetapi melalui buku Haji kita boleh mengagak pelan kubur untuk susunatur perkuburan itu.
Kami kemudiannya ke Bazar sekitar Perkuburan Baqi dan kelihatannya begitu ramai orang orang Badwi dikawasan ini selain orang Indonesia. Mencari barang-barang yang pelik pelik untuk hadiah buat anak-anak gadisku. Sempat membeli telekung dan beg untuk mereka. Seronok melihat suasana di Madinah, kelihatan deretan bas dan begitu banyak barang barang yang hendak dibawa bersama untuk ke Mekah pula. Susunatur bangunan begitu mudah dan rasanya kita tidak sesat kalau berada di Madinah. Begitu banyak kedai kedai jualan sepanjang deretan Bangunan Hotel. Hotelnya pula semuanya sudah jauh lebih baik dari 10 tahun dahulu. Malah di Gate besar Masjid Nabawi sudah ada tugu dan dataran seperti di Trafalgar Square berhadapan dengan Hilton Madinah.
Pulang Zuhor, kami menghantar dobi dan suami saya mengajak saya makan tengahari padahal rasa sudah kenyang makan kebab . Tetapi menemankan suami saya lunch , ikutkan juga sebelum kami keluar lagi berjalan jalan disekitar kawasan yang belum diterokai. Sempat lagi mencari Tasbih yang mengeluarkan bau wangi selain membeli jubah untuk dihadiahkan. Lega kerana akhirnya kami sudah dapat mencari semua barang-barang untuk disedekah apabila pulang nanti. Suami saya juga sudah membeli 2 kotak untuk mengisi semua barang barang untuk diposkan. Semalam sudah poskan 4 botol air zam-zam ke Malaysia. Hari akhir penghantaran barang-barang ialah hari Sabtu, jadi kami bercadang untuk siapkan semua supaya apabila berada di Mekah kami tidak lagi payah mencari barang barang untuk dijadikan cenderamata. Mulanya malas juga hendak beli tetapi suasana disini dan harga yang sangat berpatutan membuat kita rasa tidak sampai hati untuk pulang tangan kosong.
Selepas Asar , kami tidak lagi keluar berjalan-jalan , sehinggalah selepas Isya barulah makan malam bersama suami saya. Kami diberi Taklimat di dewan makan untuk ziarah esok hari. Itupun ramai yang tersengguk mengantuk kerana setiap mereka bangun sejak pukul 3 pagi , bila dah pukul 9 malam semuanya sudah keletihan. Saya pun tidak mengajak suami saya berada di Luar Masjid selepas Isya kerana kasihan pada suami saya yang akan bangun pukul 1 pagi untuk solat di Raudah.
“Abang tak pergi Raudah malam tadi, penat sangat”, kata suamiku sewaktu kami sarapan pagi bersama. “Mungkin tak boleh sebut penat, padahal abang dah terjaga pukul 1 pagi”, kata suamiku . “Tak apalah , kena istighfar, minta maaf dengan Tuhan pasal sebut penat”, balasku. Lagipun malam esok masih ada. Syukur melihat suamiku mampu melakukan Tahajud dan istimewanya ialah ianya dilakukan di Masjid Nabawi, bukan semua orang mendapat keisitimewaan seperti itu apatah lagi Tahajud dilakukan di Raudah, inilah yang aku paling cemburui kerana lelaki kesayanganku ini sebenarnya sangat disayangi Illahi kerana akupun tidak berpeluang Tahajud di Raudah kerana waktu untuk ke Raudah begitu terhad untuk jemaah wanita.
Tuesday, February 2, 2010
HARI 2 - Sekitar Madinah

hanya mampu melihat jemaah Solat melalui tingkap bilik .
Mujurlah dari bilik hotel saya dapat melihat mereka solat. Bilalah saya ? Minum air zam-zam dengan kayu sugi memang terasa payau tetapi diminum juga. Inilah antara ikhtiar. Pagi ini selepas makan pagi kami dibawa ziarah ke Makam Nabi , Pintu Babus Salam , Raudah dan Perkuburan Baqi. Bertanya kepada Ustazah Zawiyah tentang was-was samada kawasan luar Masjid boleh dikunjungi atau tidak . Mujurlah kata Ustazah , saya boleh berada disekitar Dataran dan boleh turut serta untuk Ziarah ke Masjid bersama-sama jemaah yang lain. Sewaktu kami berkumpul , mujur juga bertemu dengan Nurul Azura yang ikut serta bersama ibu bapanya dan yang menariknya dia baru berusia 16 tahun.

duduk berdoa dibahagian luar Masjid Nabawi mengadap Makam Rasul
Sekitar 9 pagi , apabila suami saya selesai dengan ziarah bersama jemaah wanita, kami membuat survey di sekitar belakang Hotel Movenpick. Rupa-rupanya kedai-kedai yang saya kunjungi seperti dulu masih ada, cuma mereka kini berada didalam bangunan yang lebih teratur. Kelihatannya banyak jualan seperti jubah , tasbih , sejadah dan berbagai-bagai. Kami akhirnya membeli jubah lelaki yang agak murah dibandingkan kalau dibeli di KL atau pun di Dubai. Tasbih juga dapat kami beli dari harga 5 riyal dapat menawar ke 2 riyal, apabila kami membeli dengan kuantiti yang banyak. Mujurlah suami saya pakar dalam tawar menawar jadi belian kami hari ini agak lumayan diskaunnya.
Tuesday, January 19, 2010
HARI 1 - Terbang ke Madinah
1 November , Ahad 1.30am
Perjalanan dari Kelana Jaya sangatlah lancar dan terasa mudah sehingga sampai ke KL. Bas konvoi memasuki sehingga ke lapangan tempat Kapal Terbang landing dan kami memasuki terus ke Gate untuk berlepas. Kami dilayan dengan begitu istimewa , sudah terdengar panggilan Hajjah dan Haji digunakan oleh setiap pekerja Tabung Haji dan juga di Airport. Rasa pelik juga, seperti tidak percaya , kita sudah melalui "lorong" yang hanya mereka yang melalui nya akan merasa, indahnya Haji.
Kami diberi penerangan melalui warna tiket dan pastinya tiket untuk pakej Delima yang paling ramai. Sebelum masuk ke KapalTerbang saya memaksa diri untuk ke Toilet kerana tidak mahu menggunakan Toilet di dalam Kapalterbang, mujur sewaktu kami hendak mendarat, saya dapati sinki sudah ketiadaan air.
Memandangkan kami menaiki KapalTerbang lewat tengah malam, kami tidak pasti untuk melakukan Solat Hormat Waktu (untuk waktu Suboh) kerana tidak pasti keadaan dibawah yang gelap. Mujur saya uzur jadi agak selamat untuk saya memandangkan Saudi Airlines tidak mengumumkan bila hendak Solat Suboh. Ada yang mula mengagak waktu , ada yang solat disebelah kerusi saya di bahagian belakang ada ruang, ada yang solat di di atas kerusi. Yang jelas, kita datang unuk tunaikan Haji, kita sudah dapatkan bekal ilmu untuk membantu kita melakukan ibadah dengan yakin dan teratur. Ujian sememangnya sudah bermula dan terpulanglah pada diri masing masing untuk "mencorakkan ibadah haji" berbekalkan ilmu yang dibawa.
Beginilah agaknya bila " kita sudah kesana", kita dan bekal kita. Perjalanan pula entah bagaimana, kita pernah mendengar tapi kini harus laluinya sendiri. Walaupun kita datang dengan suami atau keluarga, pergi haji , sebenarnya "ujian individu".
Antara kita dan Khaliq.
Berbalik dengan suasana didalam Kapal Terbang, tempat duduk kami berdua paling belakang dan yang menyeronokkan seat untuk 4 orang hanya diduduki oleh kami berdua, menjadikan ruang sangat lapang. Pada mulanya kami ingat 2 tempat kosong adalah untuk steward tetapi memang kosong . Jadi suami saya dapat tidur dengan melunjurkan kami dan menggunakan 3 tempat duduk untuk dia seorang. Memang bertuah ! Kata saya pada suami , tempat duduk kosong itu sebenarnya untuk emak saya yang sepatutnya ikut tetapi beliau telah pulang ke rahmatullah. Ironinya tempat , emak saya masih ada tempat duduknya di kapalterbang. Terasa semangat dan rohnya ikut serta walaupun jasadnya sudah tiada. Sesekali menggenggam jari suami saya,seperti memmberitahu "seperti tidak percaya". Baru terasa penatnya melalui berbagai aktiviti dan kisah sejak beberapa hari yang lalu.... Penat tapi sangat bahagia. Tidk sabar melihat Madinah !
hanya kami berdua di seat paling belakang...
Entah mengapa perjalanan sampai ke Madinah terasa sangat cepat. 8 ½ jam rasa sangat sebentar. Airport Madinah sudah semakin canggih berbanding dengan 10tahun yang lalu. Urusan Imigresen juga sangat lancar, pihak perempuan beratur dulu, dan pemeriksaan juga agak pantas dan tidak perlu beratur lama. Berbanding dengan pihak lelaki , pemeriksaan mereka agak ketat dimana mereka perlu mengambil 10 cap jari untuk discan. Dugaan yang pertama apabila menunggu suami saya untuk lepas pemeriksaan imigresen yang begitu lambat dan beliau antara yang terlambat. Tetapi jangkawaktu menunggu tidaklah terlalu lama sekitar 45 minit sahaja ! Melihat wajahnya sebaik sahaja melepasi permeriksaan imigresen , kelihatan lega sambil menyanyi “Akhirnya, kini pasti…” . Suami saya kena berubah tempat beratur semasa pemeriksaan imigresen sebanyak 5 kali .
Saya sudah mengagak mesti sesuatu berlaku , risau juga kalau suami saya pengsan ke, tapi rupanya kena bertukar barisan . Perkara begitu memang biasa berlaku semasa saya Umrah dulu , saya tidak kisah menunggu lama tapi risau kalau sesuatu berlaku . Mujur akhirnya melihat kelibat wajah suami saya. Bagai nak rak berdoa semuga tiada sesuatu yang berlaku. Saya pernah menunggu suami saya selama 8 jam di Airport Heathrow , London , kerana flight suami saya dari New York lewat tiba di London. Bayangkanlah betapa takutnya saya saat itu, sudahlah seorang diri, hanya Tuhan yang tahu betapa risaunya kalau saya tidak ditemui oleh suami saya dinegeri yang kita tidak punya sesiapa.
Bas kami menuju ke Hotel kami di Movenpick , sebuah hotel yang berhadapan dengan Masjid Nabawi. Pemandangan Madinah sudah tidak seperti 10 tahun yang lalu. Begitu banyak hotel-hotel baru mengelilingi Masjid Nabawi. Di tambah dengan payung-payung gergasi mengellingi Masjid Nabawi membuat kita kagum dengan perubahan dan pembangunan yang begitu meluas . Sewaktu kami sampai jam menunjukkan pukul 7 pagi. Kami tidak perlu terus kebilik tetapi terus diarahkan untuk Sarapan di Café Hotel. Makanan yang disediakan memang lumayan, malah sewaktu kami makan kelihatan Masjid Nabawi bersebelahan menyebabkan hati begitu teruja untuk cepat turun ke Masjid Nabawi. Kami juga membeli prepaid Mobily dan terus menukarkan pada handphone untuk memudahkan kami berkomunikasi.
sambil sarapan , suami saya menukar sim kad pada hp kami kerana selepas ini bilik kami yang berlainan memerlukan kami sangat bergantung untuk berkomunikasi melalui handphone.
seperti biasa menemankan suamiku untuk merokok...mungkinkah "mission untuk berhenti" akan tercapai !
Setelah sarapan kami pergi kebilik untuk menghantar beg sandang kami. Beg yang besar akan dibawa oleh pekerja di setiap level bilik hotel jadi kami cuma perlu ambil di lif. Kami kemudiannya pergi ke sekitar Masjid Nabawi dan memang benar ianya sudah jauh berubah dari 10 tahun yang lalu. Seperti datang kedunia Masjid Nabawi yang baru. Disebabkan saya tidak dapat solat , suami saya menemankan saya menyusuri sekitar Masjid. Setelah puas membuat survey permulaan, suami saya memasuki Raudah dan saya menunggu di luar Raudah. Tuhan sahaja yang tahu betapa tidak sabarnya saya untuk masuk ke dalam Masjid, tapi apakan daya. Memujuk hati setidak-tidaknya saya sudah ada diluar Masjid .
.
bilik yang memang selesa untuk 4 orang.
Suasana Masjidil sangat selamat berbanding dengan dulu orang Badwi kelihatan menghurung kita, tapi ia sudah tidak begitu lagi. Saya rasa tenang walaupun duduk seorang diluar Masjid. Tempat-tempat toilet dan untuk ambil wuduk kelihatan begitu banyak disekitar masjid, sebenarnya tidak perlu risau tentang wudu lagi kerana memang mudah apabila ia kelihatan disekitar Masjid dan suasana juga terasa sangat selamat.
inilah pintu dari hotel kami yang kami gunakan selalu untuk masuk ke kawasan Masjid.
masih lengang..
Zuhor disini ialah pukul 12.06 tengahari. Begitu cepat, terpaksalah saya pulang keHotel sementara menunggu suami saya solat Zuhor. Kebetulan kepala terasa sangat pening , saya mengambil peluang untuk berehat sementara menunggu suami saya pulang dari Masjid. Sekitar pukul 1.30 terjaga , ingatkan suami saya masih tidak pulang membuat saya risau. Rupa-rupanya beliau ke Makam Rasul dna katanya orang begitu ramai dan Makam Nabi juga sudah tidak kelihatan seperti dulu kerana di tutupi oleh kanvas. Tidaklah tahu suasana sebenar kerana saya harus menunggu beberapa hari.
dihadapan Hotel Movenpick , didalam kawasan Masjid.
kami duduk didataran luar Masjid , mengimbas kenangan silam...dulu tak boleh duduk begini kerana panas terik tapi kini boleh berteduh dibawah payung-payung yang begitu mengagumkan. Suasana yang masih lengang kerana ramai jemaah belum sampai...
Sewaktu menyusuri Masjid selepas makan tengahari saya membeli kayu sugi untuk diminum dengan Air Zam Zam , antara ikhtiar untuk mempercepatkan supaya saya boleh solat di Masjid. Selain tidak berhenti-henti membaca doa. Sementara menunggu solat Asar kami duduk diluar Masjid dibawah Payung payung gergasi.
Seperti mimpi saya sudah berada di bumi Madinah.
Selepas Solat Asar , suami saya mengajak saya berjalan disekitar Hotel. Terasa rindu Madinah 10 tahun yang lalu, tiada lagi jualan ditepi-tepi jalan setiap kali kami pulang ke Hotel , Semuanya kini sangat teratur kadang-kadang buat kita rindu suasana dulu.
Kataku pada suami, “Mujur kita dapat pengalaman dulu dan sekarang !”, ianya memberikan satu Nostalgia tentang Madinah yang pernah kita kenal, Hotel dulu kami pernah gunakan lif zaman dulu , siap ada grill, kini hotel semuanya sudah moden dan canggih.
Kebetulan sewaktu kami menyusuri sekitar luar kawasan Hotel , dapatlah jumpa kedai-kedai pakaian . Begitu banyak jubah dijual dengan harga yang agak murah. Dapatlah juga membeli 2 pasang jubah untuk anak –anak gadisku. Terus membelinya takut nanti tidak jumpa lagi kerana saya sebenarnya tidak berapa rajin untuk membeli, Rasanya kalau jumpa satu kedai beli semua dan poskan jadi tidaklah perlu risaukan barangan wajib yang perlu dihantar seperti kurma dan air zam-zam. Ramai yang berpesan Madinah lebih murah dari Mekah dan ruang masa untuk membeli lebih banyak di Madinah kerana aktiviti disini hanyalah menunaikan solat Fardhu dan ziarah makam Nabi dan Raudah.
Diwaktu malamnya dapat berbual dengan yang datang awal dan diberitahu yang datang 7 pagi belum tentu dapat masuk Raudah walaupun pukul 11 pagi. Suami saya hanya dapat lihat Makam Nabi dari jauh dan masih belum boleh solat di Raudah kerana begitu ramai jemaah. Saya tidak dapat gambarkan kerana belum lagi diizinkan masuk ke Masjid, hanya berada disekitarnya. Dalam keadaan ini bukan mudah memujuk hati , bila ianya sudah ada didepan mata, kita tidak dapat masuk ke dalam Masjid selain melihat dan mengintai -ngintai dari jauh.
Semuga Tuhan percepatkan supaya dapat Solat secepat mungkin.
"Telah berkata Al Khauwas daripada tanda-tanda yang menunjukkan diterima Haji seseorang hamba dan bahawa dia sesungguhnya telah dikurniakan dengan keredhaan Allah ,iaitu bahawasanya sesudah ia kembali daripada mengerjakan haji , dia berakklah dengan akhlak Rasullulah (akhlak Muhamaddiyah) hampir dia tiada memandang dirinya lebih tinggi daripada seseorangpun daripada hamba-hamba Allah dan tiada pula berebut-rebut untuk mendapatkan sesuatu daripada perkara dunia sehingga meninggal dunia.
Dan tanda yang menunjukkan hajinya tiada diterima bahawa dia kembali semula kepada keadaannya sebelum mengerjakan Haji.











