1 November , Ahad 1.30am
Perjalanan dari Kelana Jaya sangatlah lancar dan terasa mudah sehingga sampai ke KL. Bas konvoi memasuki sehingga ke lapangan tempat Kapal Terbang landing dan kami memasuki terus ke Gate untuk berlepas. Kami dilayan dengan begitu istimewa , sudah terdengar panggilan Hajjah dan Haji digunakan oleh setiap pekerja Tabung Haji dan juga di Airport. Rasa pelik juga, seperti tidak percaya , kita sudah melalui "lorong" yang hanya mereka yang melalui nya akan merasa, indahnya Haji.
Kami diberi penerangan melalui warna tiket dan pastinya tiket untuk pakej Delima yang paling ramai. Sebelum masuk ke KapalTerbang saya memaksa diri untuk ke Toilet kerana tidak mahu menggunakan Toilet di dalam Kapalterbang, mujur sewaktu kami hendak mendarat, saya dapati sinki sudah ketiadaan air.
Memandangkan kami menaiki KapalTerbang lewat tengah malam, kami tidak pasti untuk melakukan Solat Hormat Waktu (untuk waktu Suboh) kerana tidak pasti keadaan dibawah yang gelap. Mujur saya uzur jadi agak selamat untuk saya memandangkan Saudi Airlines tidak mengumumkan bila hendak Solat Suboh. Ada yang mula mengagak waktu , ada yang solat disebelah kerusi saya di bahagian belakang ada ruang, ada yang solat di di atas kerusi. Yang jelas, kita datang unuk tunaikan Haji, kita sudah dapatkan bekal ilmu untuk membantu kita melakukan ibadah dengan yakin dan teratur. Ujian sememangnya sudah bermula dan terpulanglah pada diri masing masing untuk "mencorakkan ibadah haji" berbekalkan ilmu yang dibawa.
Beginilah agaknya bila " kita sudah kesana", kita dan bekal kita. Perjalanan pula entah bagaimana, kita pernah mendengar tapi kini harus laluinya sendiri. Walaupun kita datang dengan suami atau keluarga, pergi haji , sebenarnya "ujian individu".
Antara kita dan Khaliq.
Berbalik dengan suasana didalam Kapal Terbang, tempat duduk kami berdua paling belakang dan yang menyeronokkan seat untuk 4 orang hanya diduduki oleh kami berdua, menjadikan ruang sangat lapang. Pada mulanya kami ingat 2 tempat kosong adalah untuk steward tetapi memang kosong . Jadi suami saya dapat tidur dengan melunjurkan kami dan menggunakan 3 tempat duduk untuk dia seorang. Memang bertuah ! Kata saya pada suami , tempat duduk kosong itu sebenarnya untuk emak saya yang sepatutnya ikut tetapi beliau telah pulang ke rahmatullah. Ironinya tempat , emak saya masih ada tempat duduknya di kapalterbang. Terasa semangat dan rohnya ikut serta walaupun jasadnya sudah tiada. Sesekali menggenggam jari suami saya,seperti memmberitahu "seperti tidak percaya". Baru terasa penatnya melalui berbagai aktiviti dan kisah sejak beberapa hari yang lalu.... Penat tapi sangat bahagia. Tidk sabar melihat Madinah !
hanya kami berdua di seat paling belakang...
Entah mengapa perjalanan sampai ke Madinah terasa sangat cepat. 8 ½ jam rasa sangat sebentar. Airport Madinah sudah semakin canggih berbanding dengan 10tahun yang lalu. Urusan Imigresen juga sangat lancar, pihak perempuan beratur dulu, dan pemeriksaan juga agak pantas dan tidak perlu beratur lama. Berbanding dengan pihak lelaki , pemeriksaan mereka agak ketat dimana mereka perlu mengambil 10 cap jari untuk discan. Dugaan yang pertama apabila menunggu suami saya untuk lepas pemeriksaan imigresen yang begitu lambat dan beliau antara yang terlambat. Tetapi jangkawaktu menunggu tidaklah terlalu lama sekitar 45 minit sahaja ! Melihat wajahnya sebaik sahaja melepasi permeriksaan imigresen , kelihatan lega sambil menyanyi “Akhirnya, kini pasti…” . Suami saya kena berubah tempat beratur semasa pemeriksaan imigresen sebanyak 5 kali .
Saya sudah mengagak mesti sesuatu berlaku , risau juga kalau suami saya pengsan ke, tapi rupanya kena bertukar barisan . Perkara begitu memang biasa berlaku semasa saya Umrah dulu , saya tidak kisah menunggu lama tapi risau kalau sesuatu berlaku . Mujur akhirnya melihat kelibat wajah suami saya. Bagai nak rak berdoa semuga tiada sesuatu yang berlaku. Saya pernah menunggu suami saya selama 8 jam di Airport Heathrow , London , kerana flight suami saya dari New York lewat tiba di London. Bayangkanlah betapa takutnya saya saat itu, sudahlah seorang diri, hanya Tuhan yang tahu betapa risaunya kalau saya tidak ditemui oleh suami saya dinegeri yang kita tidak punya sesiapa.
Bas kami menuju ke Hotel kami di Movenpick , sebuah hotel yang berhadapan dengan Masjid Nabawi. Pemandangan Madinah sudah tidak seperti 10 tahun yang lalu. Begitu banyak hotel-hotel baru mengelilingi Masjid Nabawi. Di tambah dengan payung-payung gergasi mengellingi Masjid Nabawi membuat kita kagum dengan perubahan dan pembangunan yang begitu meluas . Sewaktu kami sampai jam menunjukkan pukul 7 pagi. Kami tidak perlu terus kebilik tetapi terus diarahkan untuk Sarapan di Café Hotel. Makanan yang disediakan memang lumayan, malah sewaktu kami makan kelihatan Masjid Nabawi bersebelahan menyebabkan hati begitu teruja untuk cepat turun ke Masjid Nabawi. Kami juga membeli prepaid Mobily dan terus menukarkan pada handphone untuk memudahkan kami berkomunikasi.
sambil sarapan , suami saya menukar sim kad pada hp kami kerana selepas ini bilik kami yang berlainan memerlukan kami sangat bergantung untuk berkomunikasi melalui handphone.
seperti biasa menemankan suamiku untuk merokok...mungkinkah "mission untuk berhenti" akan tercapai !
Setelah sarapan kami pergi kebilik untuk menghantar beg sandang kami. Beg yang besar akan dibawa oleh pekerja di setiap level bilik hotel jadi kami cuma perlu ambil di lif. Kami kemudiannya pergi ke sekitar Masjid Nabawi dan memang benar ianya sudah jauh berubah dari 10 tahun yang lalu. Seperti datang kedunia Masjid Nabawi yang baru. Disebabkan saya tidak dapat solat , suami saya menemankan saya menyusuri sekitar Masjid. Setelah puas membuat survey permulaan, suami saya memasuki Raudah dan saya menunggu di luar Raudah. Tuhan sahaja yang tahu betapa tidak sabarnya saya untuk masuk ke dalam Masjid, tapi apakan daya. Memujuk hati setidak-tidaknya saya sudah ada diluar Masjid .
.
bilik yang memang selesa untuk 4 orang.
Suasana Masjidil sangat selamat berbanding dengan dulu orang Badwi kelihatan menghurung kita, tapi ia sudah tidak begitu lagi. Saya rasa tenang walaupun duduk seorang diluar Masjid. Tempat-tempat toilet dan untuk ambil wuduk kelihatan begitu banyak disekitar masjid, sebenarnya tidak perlu risau tentang wudu lagi kerana memang mudah apabila ia kelihatan disekitar Masjid dan suasana juga terasa sangat selamat.
inilah pintu dari hotel kami yang kami gunakan selalu untuk masuk ke kawasan Masjid.
masih lengang..
Zuhor disini ialah pukul 12.06 tengahari. Begitu cepat, terpaksalah saya pulang keHotel sementara menunggu suami saya solat Zuhor. Kebetulan kepala terasa sangat pening , saya mengambil peluang untuk berehat sementara menunggu suami saya pulang dari Masjid. Sekitar pukul 1.30 terjaga , ingatkan suami saya masih tidak pulang membuat saya risau. Rupa-rupanya beliau ke Makam Rasul dna katanya orang begitu ramai dan Makam Nabi juga sudah tidak kelihatan seperti dulu kerana di tutupi oleh kanvas. Tidaklah tahu suasana sebenar kerana saya harus menunggu beberapa hari.
dihadapan Hotel Movenpick , didalam kawasan Masjid.
kami duduk didataran luar Masjid , mengimbas kenangan silam...dulu tak boleh duduk begini kerana panas terik tapi kini boleh berteduh dibawah payung-payung yang begitu mengagumkan. Suasana yang masih lengang kerana ramai jemaah belum sampai...
Sewaktu menyusuri Masjid selepas makan tengahari saya membeli kayu sugi untuk diminum dengan Air Zam Zam , antara ikhtiar untuk mempercepatkan supaya saya boleh solat di Masjid. Selain tidak berhenti-henti membaca doa. Sementara menunggu solat Asar kami duduk diluar Masjid dibawah Payung payung gergasi.
Seperti mimpi saya sudah berada di bumi Madinah.
Selepas Solat Asar , suami saya mengajak saya berjalan disekitar Hotel. Terasa rindu Madinah 10 tahun yang lalu, tiada lagi jualan ditepi-tepi jalan setiap kali kami pulang ke Hotel , Semuanya kini sangat teratur kadang-kadang buat kita rindu suasana dulu.
Kataku pada suami, “Mujur kita dapat pengalaman dulu dan sekarang !”, ianya memberikan satu Nostalgia tentang Madinah yang pernah kita kenal, Hotel dulu kami pernah gunakan lif zaman dulu , siap ada grill, kini hotel semuanya sudah moden dan canggih.
Kebetulan sewaktu kami menyusuri sekitar luar kawasan Hotel , dapatlah jumpa kedai-kedai pakaian . Begitu banyak jubah dijual dengan harga yang agak murah. Dapatlah juga membeli 2 pasang jubah untuk anak –anak gadisku. Terus membelinya takut nanti tidak jumpa lagi kerana saya sebenarnya tidak berapa rajin untuk membeli, Rasanya kalau jumpa satu kedai beli semua dan poskan jadi tidaklah perlu risaukan barangan wajib yang perlu dihantar seperti kurma dan air zam-zam. Ramai yang berpesan Madinah lebih murah dari Mekah dan ruang masa untuk membeli lebih banyak di Madinah kerana aktiviti disini hanyalah menunaikan solat Fardhu dan ziarah makam Nabi dan Raudah.
Diwaktu malamnya dapat berbual dengan yang datang awal dan diberitahu yang datang 7 pagi belum tentu dapat masuk Raudah walaupun pukul 11 pagi. Suami saya hanya dapat lihat Makam Nabi dari jauh dan masih belum boleh solat di Raudah kerana begitu ramai jemaah. Saya tidak dapat gambarkan kerana belum lagi diizinkan masuk ke Masjid, hanya berada disekitarnya. Dalam keadaan ini bukan mudah memujuk hati , bila ianya sudah ada didepan mata, kita tidak dapat masuk ke dalam Masjid selain melihat dan mengintai -ngintai dari jauh.
Semuga Tuhan percepatkan supaya dapat Solat secepat mungkin.









0 comments:
Post a Comment